Friday, September 3, 2021

BUKIT KAMAL MENJERIT XIX

Kredit kepada : Safri Ali (Facebook) 


BUKIT KAMAL MENJERIT XIX

(Cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diriku sendiri, atau kawan-kawan terdekat. Ia berlaku sekitar 1980 hingga 1993. Latar kejadian berbeza, di darat dan di laut, semasa bertugas sebagai anggota LLP di TLDM. Olahan, plot, penceritaan disusun supaya menimbulkan suasana. Mohon sokongan).
Aku gosok mata berkali-kali. Aku mengucap juga berkali-kali, malah membaca ayat suci alquran juga berkali-kali. Sepanjang aku menapak mengekori Nirwan itu juga, mulutku tidak berhenti membaca ayat suci. Nirwan terus berjalan tanpa banyak menoleh ke arahku.
Aku sedar aku telah memasuki perkampungan makhluk yang bukan dari kalangan manusia sepertiku. Suasana nyaman sungguh, redup seperti beraada di suatu petang yang sangat indah, pokok-pokok segar, bunga-bungan berwarna-warni mengeluarkan bau yang sungguh wangi dan segar. Ahhh…sambil berjalan aku menutup mata seketika, menikmati kesegaran yang tak pernah aku alami selama ni. Bunyi air menderu tak jauh dari situ. Ternampak sebuah air terjun yang airnya menerjah laju. Suasana tenang, damai, mengasyikkan. Keindahan yang tidak tergambarkan. Terdetik pertanyaan dalam benak, kenapa kami tidak pernah mengetahui bahawa di Bukit Kamal ini terdapat sebuah air terjun yang sangat cantik, yang bunyi air berdebur menerjah ka bumi. Seperti mengetahui apa yang sedang berlegar di benakku, Nirwan membawaku menuju ke arah air terjun yang bunyinya semakin jelas ketika kami semakin mendekat. Ya Tuhan, sungguh cantik dan aku terpesona melihat keindahan di situ. Keindahan air terjun, bunga-bungaan yang ada di sekitar bukit itu sungguh menakjubkan. Tidak ada perkataan yang mampu aku gambarkan betapa indah dan tenangnya berada di tepi tasik dengan titis-titis air terjun yang sekali-sekali ditiup angin jatuh menimpa muka.
Nirwan berdiri saja melihatku yang kagum dengan keindahan di tepi tasik tu, Dia tak berkata apa-apa. Aku lihat sekilas mukanya yang nampak kosong di tengah-tengah. Memang tak jelas walaupun suasana petang dan masih cerah. Aku raup ambil air dengan tapak tangan dan menyapu ke muka. Terasa segar serta merta. Sedang asyik aku menghayati keindahan yang luarbiasa itu, tiba-tiba terdengar ada orang berdehem dari belakang.
“Assalamualaikum tuan.” Aku berpaling.
”Tuan ingat saya?” kata suara itu. Aku amati rupanya, orang tua awal 60-an berdiri di depanku. Rupanya Hj Abdullah yang kami jumpa di kubur Batu 9 Lekir beberapa hari lepas. Hj Abdullah yang menerima tulang ayah Shaari yang kami sampaikan pada dia supaya dikebumikan.
“Tuan Haji di sini?” tanya aku kehairanan.
“Saya memang di sini tuan. Ini perkampungan kami. Kami dah lama tinggal di sini, beranak-pinak dan bercucu-cicit di sini. Yang ini kawan tuan, Nirwan. Saya pinjam Nirwan seketika,” katanya memperkenalkan Nirwan kepadaku. Aku pandang Nirwan yang kami kenali sejak bergelar rekrut, lelaki pendiam yang kuat menyendiri, yang kini sudah nampak keseluruhan mukanya. Ia, Nirwan kawanku yang hilang dan kami mencarinya sejak beberaspa hari lepas. Nirwan yang pendiam dan tidak suka bercampur dengan rakan-rakan laini. Nirwan yang tak banyak kawan dan hanya berseorangan hampir sepanjang masa. Nirwan yang berjalan berseorangan, dan duduk melayan perasaan berseorangan.
“Saya kenal Nirwan ni Tuan Haji. Dia rakan saya yang hilang. Saya tahu dia ada di sini,” kataku hormat. Nirwan senyum dan berjalan ke arahku, menghulurkan tangan bersalam. Allahu, terasa misteri yang menyelubungi kami beberapa hari lepas kini terungkai. Nirwan yang aku sangka sebagai qorin Nirwan ini rupanya Nirwan yang betul, yang rupa dan fizikalnya adalah seratus peratus Nirwan yang kami kenali. Cuma Nirwan ini bercapal, tidak berkasut seperti selalu.
“Tuan mungkin letih. Marilah ke pondok kami di hujung sana. Jangan bimbang, anak cucu kami di sini baik-baik selagi tuan berada dengan kami, InsyaAllah keselamatan tuan akan kami jaga,” kata Hj Abdullah mengajak aku keluar dari kawasan air terjun itu.
Aku mengikuti Hj Abdullah dari belakang. Ada banyak pertanyaan timbul. Rupanya Hj Abdullah ini sebahagian dari makhluk bukan manusia yang kami jumpai di kubur arwan bapa Shaari tempoh hari. Nirwan berjalan di sebelah. Aku simpan dulu pertanyaan ini. Kami melalui lorong-lorong kecil yang di sebelah menyebelahnya terdapat pokok buluh kecil dan besar yang ditanam dan tersusun rapi. Aku kagum dengan cara mereka menanam pokok dan menjaga pokok-pokok buluh itu yang kelihatannya sangat teratur. Kami sampai di sebuah pintu gerbang, yang keseluruhannya diperbuat dari buluh. Sungnguh cantik binaannya.
“Inilah kampong kami. Silakan masuk tuan. Kita ke pondok saya di hujung tu,” kata Hj Abdullah dengan sopan.
Kami melewati rumah-rumah berbentuk tradisional yang kesemua laman mereka bersih dan teratur. Hairannya tak ramai yang kami jumpa sepanjang perjalanan ke rumah Hj Abdullah. Hanya beberapa lelaki yang memakai pakaian baju melayu, berkain sarung dan ramai yang bersongkok, walaupun songkok nampak lama dan lusuh. Halamannya pula tidak berdebu dan tidak ada sampah sarap atau daun-daun pokok di atas tanah.
Hebat
penduduk sini menjaga kebersihan, kata aku dalam hati. Tak pernah terlintas di fikiran, Bukit Kamal yang hanya beberapa langkah dari blok penginapan kami merupakan penempatan makhluk jenis yang kami tidak nampak dengan mata kasar. Mereka hidup dengan aman damai di sebuah perkampungan yang seperti tidak pernah dicapai oleh pembangunan dan arus kemodenan. Aku tak nampak sesiapa pun berpakaian seperti kami, berseluar, berbaju cara anak muda zaman moden. Kesemuanya berbaju melayu dan ada seorang dua orang perempuan yang aku nampak tadi memakai pakaian baju kurung Kedah dan berselubung atau menutup kepala mereka dengan kain batik. Sungguh cantik dan tradisi.
Kami sampai di sebuah rumah yang sederhana besarnya, tersergam indah di situ. Rumah kampung dengan binaan cantik, diperkukuhkan dengan kayu-kayu yang berkualiti tinggi, getus hatiku.
Hebat
mereka ini, hidup aman damai dalam sebuah perkampungan yang tak dapat dijangkau oleh manusia. Kami membasuh kaki di tepi tangga, mencebok air, membasuh kaki dengan pencebok yang diperbuat dari tempurung kelapa sebelum melangkah naik, diikuti Nirwan yang memang tak banyak bercakap pun sejak tadi. Hj Abdullah memperkenalkan isterinya, (aku masih ingat namanya Melor – aku panggil makcik Melor), perempuan yang sopan dan patuh kepada suami (itu yang aku nampak). “
“Nirwan kawan tuan ini pakcik nak jodohkan dengan anak pakcik. Sehari dua ini InsyaAllah Nirwan akan berada di sini sebelum akad nikah dalam masa sehari dua lagi,” kata Hj Abdullah sambal mempersilakan kami duduk. Aku pandang Nirwan yang menunduk. Ada riak tenang di wajahnya. Walaupun terkejut dengan ‘berita’ itu tapi sekurang-kurangnya ia telah menyelesaikan misteri kehilangan Nirwan selama ini.
Malam itu aku dan Nirwan dijamu makan dengan masakan cara kampung yang enak dan menyelerakan, yang kesemuanya dari pokok dan ulaman yang berselerak di tepi rumah Hj Abdullah. Aku masih ingat, makcik Melor menghidangkan kami dengan jantung pisang bakar dan rebung masak lemak. Masa tu aku dah lupa dah dengan dunia luar, dunia latihan dan rakan-rakan di blok D7. Semasa makan, Hj Abdullah memperkenalkan aku dengan seorang perempuan yang sangat cantik, yang katanya akan dijodohkan dengan Nirwan nanti. Memang cantik sungguh anak Hj Abdullah ini. Putih, ayu dan lirik matanya menggoda. Alangkah indahnya kalau Cempaka (aku tahu namanya selepas Hj Abdullah beritahuku) jadi biniku, kata aku dalam hati. Nirwan senggol bahuku ketika makan, ketika aku asyik melihat Cempaka yang mula melarikan diri apabila aku asyik menuruti langkahnya di dapur. Mungkin dia cemburu.
Malam itu kami berdua tidur di ruang tamu sahaja kerana Hj Abdullah tidak mempunyai lebihan bilik untuk kami. Aku gunakan peluang itu untuk bersembang dan bertanya Nirwan tentang kehilangannya di kalangan kami. Nirwan mendedahkan bahawa dia telah bersetuju untuk berkahwin dengan Cempaka dan tarikh perkahwinan akan berlangsung hanya dalam masa 2 hari saja lagi. Semua persiapan, menurutnya sudah diatur dan kedatangan aku ke sini merupakan suatu penghargaan dan dia sangat berbangga mempunyai kawan yang sanggup bersamanya di dunia ghaib ini, katanya perlahan.
Nirwan memberitahu, Hj Abdullah adalah penghulu kepada kaum bunian di perkampungan ini. Penduduk di sini tak ramai, katanya, hanya dalam 80 lebih buah rumah sahaja. Cempaka menjadi rebutan di kalangan pemuda bunian tetapi Hj Abdullah sendiri yang menjemput Nirwan memasuki dunia mereka ketika melihat Nirwan selalu berseorangan dan seringkali bersendirian ketika di dormetri dan berhasrat untuk menjadikan Nirwan sebagai menantu mereka.
“Kau setuju?” tanya aku sungguh-sungguh. Nirwan mengangguk dalam kegelapan.
“Cempaka baik, selalu baca quran. Dia paling cantik di sini. Memang aku terpikat.”
“Kau tau risiko?” aku tanya lagi. Nirwan berdiam, agak lama sebelum mengangguk.
“Kita dari dunia lain Wan. Aku masuk sini pun kau yang jemput. Aku tak mau dunia sini. Aku nak balik ke dunia kita. Kalau kau kawin, kau akan dok sini selamanya, takde peluang baik dah,” kataku cuba bernasihat.
“Aku tau,” jawab Nirwan. “Aku takde sesiapa lagi kat dunia kita. Ibu bapak aku dah tak ada. Adik beradik tak baik dengan aku. Baik aku duduk sini. Sini semua baik-baik, kampung dia sangat cantik. Aku damai kat sini, tak bergaduh, tak dengki dengan sapa-sapa. Makan minum sempurna. Kat tempat kita makan galley jer, ikan melantong, daging zaman perang dunia kedua,” kata Nirwan sambal ketawa mengekek.
Aku pandang mukanya dalam kegelapan. Masa tu pelita kami dah padamkan, dan kami berborak dalam gelap.
“kau bagi kat akulah Cempaka kau tu. Kau balik dunia kita, nak? Kita tukar suka sama suka,” pancing aku sambal ketawa.
“Tak boleh. Aku nak jugak…” kata Nirwan menutup sembang kami malam itu. Aku ketawa jugak, merasakan betapa Nirwan ini obses dengan Cempaka hingga sanggup melupakan kawan-kawan dan kerjayanya di luar sana. Tapi aku merasakan tugas aku selesai apabila dapat menasihati Nirwan begitu. Dia sudah dewasa, sudah boleh berfikir sendiri.
Seawal subuh, kami bangun dan berjalan ke telaga untuk mengambil air sembahyang. Udara sejuk dingin. Memang nikmat berada di kampong ini. Kenikmatan yang tiada bandingan. Sejak petang semalam aku tidak melihat sebarang kenderaan (kereta) yang melintas. Halaman rumah sunyi sepi dan terhindar sepenuhnya dari arus pembangunan. Dalam kedinginan pagi yang indah dan damai itu, sayup-sayup terdengar namaku dipanggil beberapa kali. Aku pandang kiri kanan. Tidak ada sesiapa. Hutan di sebelah belakang manakala rumah di sebalik rumpun buluh di sebelah depanku. Telaga rumah Hj Abdullah berada di rusuk kiri jemuran. Aku amati betul-betul, memang ada seseorang sedang memanggil nama aku berkali-kali, suara yang seperti pernah aku dengar dan aku kenali sebelum itu. Dalam gelap subuh itu, aku pandang Nirwan yang juga memandangku dengan cemas.
Bersambung.
Keterangan gambar:
Lt Akmal, ketua jurulatih kami semasa kami bergelar rekrut. Gambar ini diambil semasa kami mengambil bahagian dalam pertandingan nasyid seluruh negeri Perak pada awal 1981. Arwah Mat Yus, Sam Angela dan Junaidi, nama2 yg disebut dlm siri sebelum ini ada dlm gambar.







Terima kasih kepada yg mengikuti siri BKM ini. Kepada yg nak membaca dan mengetahui kisah selanjutnya, buku ini ada jawapan. Mohon pm atau wassap saya di 0194809631.

No comments: